Mungkin ada antara anda semua yang ingin bercuti tetapi tentu ia bergantung kepada bajet kewangan yang ada. Kali ini saya kongsikan bagaimana saya yang keluarga sederhana ini pergi bercuti di lokasi yang dikehendaki pada kos yang saya mampu.
Lokasi yang dipilih adalah di Melaka. Jika saya lihat blog-blog lain, terdapat banyak tempat menarik di Melaka, namun tidak cukup untuk saya lawati bagi percutian 3 hari 2 malam ini. Jadi saya telah senarai pendek lokasi-lokasi yang saya akan pergi bergantung dengan bajet yang saya ada.
Hari Pertama :
Bertolak pada waktu 7 pagi adalah kegemaran saya kerana budak-budak tidak rimas dalam kereta dan mungkin akan tidur. Saya memilih beli air milo , roti dan biskut sebagai kudapan dan sarapan dalam kereta. Perjalanan dari Ipoh menghala ke Melaka mengambil masa 3 jam setengah dengan berhenti rehat sebentar di RNR Ulu Bernam.
Setibanya kami di Melaka, saya register dulu di Hallmark View Hotel yang telah saya tempah melalui agoda.com beberapa hari sebelum bercuti, saya telah pilih diskaun saat akhir untuk bilik besar mencakupi 1 katil king, 2 katil single, set berus gigi dan kelengkapan bilik air, sarapan pagi dan surat khabar. Kos 3 hari 2 malam di hotel ini RM266 setelah diskaun 50% saat akhir di mana harga walk-in sekitar RM284 satu malam. Beza banyak tu!
Makan tengah hari pula tentu asam pedas yang terkenal di Melaka terletak Kota Laksamana. Pilihan saya Restoran Hajah Mona atau Asam Pedas Claypot. Set nasi dan asam pedas sebanyak RM30 bagi 2 dewasa dan 3 kanak-kanak, kenyang dan sedap, saya bagi 5 bintang.
Lepas check-in hotel, berehat sebentar, lokasi pertama kami pada petang tersebut ialah di Pantai Klebang. Kami telah melawat ke Muzium Kapal Selam dengan bayaran tiket RM3 untuk dewasa dan kanak-kanak 7~12tahun RM1, jumlah RM8. Lepas puas masuk muzium kapal selam, pergi pula berehat di Bustel, ada banyak bas terpakai dijadikan hotel dan restoran-restoran tepi pantai. Minum-minum air kelapa dan makan pisang goreng cheese.
Lewat petang kami berkunjung ke Kampung Morten. Kampung ini merupakan sebuah perkampungan tradisional satu-satunya terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka. Perkampungan ini dinamakan sempena nama J.F Morten , pesuruhjaya Tanah apabila suruhanjaya tersebut ditubuhkan pada awal 1920-an.
Anda berpeluang melihat barangan antik dan tradisional Melayu di ‘Villa Sentosa’ terletak di hujung kampung itu bersebelahan Sungai Melaka. Masuk percuma :-) Memandangkan hampir malam, kami terus makan malam di Restoran Asam Pedas Claypot 1, dan jumlah yang perlu dibayar RM34. Rehat dahulu bagi fresh untuk hari esok.
Hari Kedua :
Kami bersarapan sahaja di hotel kerana sudah terdapat dalam pakej. Percutian hari kedua boleh dikatakan padat dengan bermula di Muzium Samudera iaitu sebuah kapal bahtera yang besar. Tapi harus diingat jangan buang tiket kerana ia akan digunakan pada Muzium TLDM. Anak-anak cukup suka naik sejenis alat penembak atas kapal dan saya terpaksa memusingkan alat tersebut seolah-olah ia berfungsi. Harga tiket bagi kedua-dua Muzium ini tidak sampai RM10 bagi kami sekeluarga.
Kami teruskan jalan kaki ke Kota A Famosa, Muzium Kesultanan Melaka, dan Dataran Pahlawan. Pelbagai maklumat sejarah di negara di lokasi ini terutama di bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan. Setibanya Tunku Abdul Rahman di tanah air, di Memorial inilah tarikh kemerdekaan diumumkan. Harga tiket di Muzium Kesultanan Melaka dewasa RM2 Kanak-kanak RM1, jumlah RM6.
Memandangkan anak-anak tidak biasa makan asam pedas, jadi untuk menu tengah hari kami makan di McD yang tidak jauh dari situ, setelah sejam lebih berehat, kami meneruskan perjalanan ke Perigi Hang tuah, di situ saya lihat ramai pengunjung ambil air di perigi tersebut. Perigi itu mengikut sejarah telah digunakan oleh pahlawan tersebut dalam kehidupan seharian dan airnya tidak pernah kering sehingga hari ini. Memandangkan anak saya yang kecil penat dan tertidur, jadi sempat tangkap gambar di depan Muzium Hang Tuah sahaja.
Pecutian diteruskan dengan melawat Toy Museum Melaka. Ia asalnya sebuah rumah yang dijadikan muzium. Terdapat sangat banyak koleksi permainan dari atas lantai sampailah ke syiling. Beberapa gambar permainan sempat saya rakamkan. Setiap bilik memaparkan genre permainan, jenis sains fiksyen, khayalan, dan terdapat juga yang menyeramkan. Harga tiket dewasa RM6 dan kanak-kanak RM4, semua berjumlah RM20.
Apabila saya melihat jam sudah pukul 6 petang, jadi kami balik berehat dulu di hotel. Selepas Maghrib, kami kembali ke Kota Laksamana untuk makan asam pedas, maklumlah orang utara macam kami dah biasa makan tomyam, jadi inilah masa untuk mencuba selera orang melaka, iaitu asam pedas. Kami makan pada malam tersebut berjumlah RM35.
Anak-anak yang tidak sabar dari hari mula-mula sampai di Melaka asyik tanya pasal River Cruise, dan masa yang dinanti-nantikan pun tiba, kami menaikinya di Taman Rempah, sangat teruja menaiki River Cruise ini kerana pemandangan yang menarik dengan sulaman suasana paya bakau, keindahan Kampung Morten, Pembangunan Bandar Melaka, Kincir Air dan juga terdapat banyak kedai makan dan restoran sepanjang sungai ini.
Perjalanan River Cruise ini lebih kurang 40 minit dan saya sangat berpuas hati. Harga tiket bagi dewasa RM10 dan kanak-kanak RM5 tidak termasuk GST. Bagi anda yang tidak puas naik River Cruise, boleh juga jalan kaki sepanjang sungai tersebut kerana telah disediakan laluan pejalan kaki yang cukup selesa.
Tidak cukup dengan River Cruise, kami lihat persembahan muzik gendang silat tidak jauh dari kaunter River Cruise, dan kami pergi pula ke sekitar Melaka Clock Tower di mana terdapatnya kincir angin, sebahagian Kubu Kota Melaka sebelum di jajah. Kami dihiburkan oleh busker jalanan dengan lagu-lagu yang sesuai dengan suasana malam.
Hari Ketiga
Sedar tidak sedar sudah sampai hari ketiga, hari terakhir kami di Melaka, berehat selepas sarapan pagi, kemas-kemas kain baju dan check-out. Destinasi percutian diteruskan ke Jonker Walk. menjadi sebahagian kewajipan bagi pelancong yang datang ke Melaka mesti ke Jonker Walk. Terdapat macam-macam kedai klasik, pakaian, dan juga barangan yang pelik.
Apa yang sempat saya rakamkan adalah kunjungan kami di Mamee Jonker House. Makanan ringan yang cukup legend ini membuka kedai yang merangkumi galeri Mamee, pusat jualan dan restoran layan diri siap disambut maskot di pintu hadapan. Agak sesak juga dengan kehadiran kanak-kanak yang ramai ke sini. Harga tiket ke Galeri Mamee Dewasa RM10 dan kanak-kanak RM5, jumlah RM20.
Sebelum bergerak pulang ke Ipoh, kami sempat singgah membeli belacan di sekitar jalan Tanjung Kling dan terus ke Hasbro Village (rumah segi tiga), sebenarnya ia sebuah tempat untuk menginap. Selalu nampak dalam facebook, jadi kami pun carilah guna google maps. tempat tu memang cantik. Baiklah di sini saya rekodkan perbelanjaan kami sepanjang bercuti 3 hari 2 malam di Melaka. Mungkin tak sempat nak pergi semua tempat akibat kekangan masa dan juga bajet, jadi inilah apa yang saya rancang sejak sebelum ke sana :
Tol pergi balik Gopeng - Melaka : RM86.20
Minyak kereta : RM120
Makan minum : RM175
Hotel 3D1N : RM266
Tiket keseluruhan : RM99
Cenderahati termasuk belacan : RM50
Parking kereta : RM7
JUMLAH KESELURUHAN : RM803.2
Inilah percutian kami, Tabung Dana Pelancongan yang kami sediakan sejak bulan Januari dan juga turut disumbangkan oleh hasil iklan di blog telah digunakan untuk bercuti ke Melaka. Mungkin terdapat beberapa lagi lokasi menarik yang tidak sempat kami kunjungi namun kami berasa tersangat puas hati, cukup penat dan rasa tersangat gembira. Semoga berjumpa lagi ke destinasi pelancongan yang lain!
agak menarik 3 hari 2 malam dengan perbelanjaan sederhana
ReplyDelete